APRIL 2024

Kerajaan Perkasa Pendidikan, Kesihatan Luar Bandar


KUCHING: Kerajaan Sarawak akan mempercepatkan pembangunan luar bandar dengan memberi tumpuan terhadap sektor pendidikan dan kesihatan. 

Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, dana sebanyak RM1.5 bilion di bawah agensi pembangunan luar bandar seperti Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah diperuntukkan bagi memacu kawasan tersebut.

Katanya, sebahagian daripada dana boleh digunakan bagi memperbaiki dan membina semula sekolah dan klinik daif di luar bandar.

Jelas beliau, kerajaan negeri akan membantu membiayai projek Persekutuan bagi kedua-dua sektor tersebut seperti yang dipersetujui Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.  Sarawak membiayai dahulu projek-projek tersebut dan Kerajaan Persekutuan akan membayar balik.

Beliau berkata demikian semasa menghadiri Majlis Iftar Ramadan dan Solat sunat Tarawih bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sarawak di Kuching, malam tadi.

Katanya, keadaan sekolah dan klinik perlu setara dengan pengiktirafan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia. 

Namun dedahnya, lebih 60 peratus klinik dan sekolah di Sarawak masih daif dan tidak menepati kualiti Jabatan Kerja Raya (JKR).

Tambah Premier lagi, kerajaan negeri juga merancang untuk membina semula kuarters guru dan jururawat. 

Beliau turut menunaikan solat Maghrib, Isya dan Tarawih bersama warga PDRM kontinjen Sarawak di Masjid Al- Mujahidin, Kompleks Perumahan Polis Tabuan Jaya.